Wednesday, October 21, 2009

Semester 2 Final Exam..

Unit Peperiksaan dan Penilaian IPGM Kampus Raja Melewar telah memaklumkan mengenai maklumat peperiksaan akhir semester yang dipaparkan di papan kenyataan pejabat.

Berikut merupakan peperiksaan yang akan diduduki pelajar PISMP Sains Semester 2 IPGM seluruh negara.

10/11, 8:00 - EDU 3103 (Murid & Alam Belajar)
12/11, 2:30 - SCE 3103 (Exploring Materials)

17/11, 8:00 - SCE 3104 (Science Curriculum & Pedagogies)
18/11, 8:00 - PJM 3102 (Elektif 1: Pergerakan Asas)

Berdasarkan jadual peperiksaan di atas, subjek SCE 3103 sudah semestinya merupakan subjek yang akan menggentarkan semua pelajar kursus ini. Senggang antara subjek 'edu' tidak jauh menjadikan masa untuk lebih focus kepada 'killer subject' ini menjadi pendek. Apa-apapun perancangan masa yang teratur akan menentukan persediaan rapi. Selamat berjaya!

Read more...

Senam Seni Malaysia (SIPMA III 2009)

Read more...

Pameran Pemulihan Bahasa Melayu

Read more...

The Exploring Science Exhibition 2009


Theme:

Explore, Experience, Enrich

Date:

7th September 2009 (Monday )

Venue:

Biology Laboratory, Dataran Melewar,

IPGM Kampus Raja Melewar

Organizer:

PISMP Science Semester 2



Read more...

Monday, July 6, 2009

International Year of Astronomy 2009














Read more...

Sunday, July 5, 2009

Surat: Kaedah pengajaran bahasa Inggeris patut dirombak













Sumber: Berita Harian, 18 Jun 2009


APABILA Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin mempelawa masyarakat memberi pandangan sama ada mewajibkan pelajar lulus subjek bahasa Inggeris bagi memperoleh Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau sebaliknya, saya terpaksa mencari semula surat yang dihantar kepada media mengenai isu berkenaan.

Dalam surat pada 5 Ogos 2002, saya menimbulkan beberapa persoalan mengenai langkah Kementerian Pelajaran mengumumkan dasar pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI). Kebimbangan saya itu kerana sebilangan besar murid yang memasuki Tahun Satu tidak mendapat pendedahan kepada bahasa Inggeris pada peringkat tadika.

Sejak pelaksanaan dasar itu pada 2003 terutama dua tahun terakhir ini memperlihatkan perbincangan hangat mengenai isu berkenaan. Wujud pelbagai pro dan kontra berhubung isu berkenaan ditimbulkan.

Selepas mempertimbangkan hujah dikemukakan kedua-dua pihak, saya masih rasakan sepatutnya dasar PPSMI sepatutnya tidak dilaksanakan. Selain masalah pendedahan bahasa Inggeris kurang pada peringkat tadika, empat alasan lain yang menunjukkan pelaksanaannya bukan satu polisi yang tepat diambil kerajaan.

Pertama: Enam tahun terakhir pelaksanaannya memperlihatkan ramai guru tidak mampu mengajar dua mata pelajaran berkenaan kerana mereka juga berdepan masalah memahami dan menguasai bahasa itu;

Kedua: Bukti menunjukkan pembelajaran subjek itu dalam bahasa Inggeris tidak menunjukkan kesan jelas terhadap penguasaan pelajaran. Dua subjek itu ternyata tidak mampu meningkatkan penguasaan mereka terhadap bahasa itu;

Ketiga: Contoh menunjukkan pelajar ijazah pertama dan pasca ijazah dari seluruh dunia yang tidak belajar kedua-dua subjek itu dalam bahasa Inggeris sama ada sekolah rendah atau menengah masih mampu menguasai idea yang kompleks dalam jurnal saintifik dalam bahasa Inggeris kerana mereka menguasai ilmu bahasa berkenaan, dan

Keempat: Kuasa 'matematik' dunia seperti Russia, Vietnam dan China, menggunakan bahasa ibunda bagi mengajar mata pelajaran berkenaan.

Ini bukan bermakna bahasa itu tidak penting. Sebagai bahasa ilmu dunia, kita perlu meningkatkan mutu bahasa itu di sekolah dan universiti kita. Ini bermakna, kaedah pengajaran bahasa itu perlu dirombak.

Bahasa Inggeris komunikasi yang diperkenalkan di sekolah di negara ini sejak 30 tahun lalu, adalah contoh tindakan meniru buta tuli teknik digunakan untuk mengajar pelajar asing di dalam masyarakat bahasa tuturnya bahasa Inggeris seperti United Kingdom. Ia perlu diganti dengan mengambil kaedah lebih kondusif dengan persekitaran sosiolinguistik kita.

Sebagai pilihan, cadangan pakar pendidikan, Prof Isahak Haron boleh dipertimbangkan iaitu 'Bahasa Inggeris dalam konteks isi kandungan (
English in context for content) yang memberi perhatian kepada tatabahasa, kosa kata dan semangat budaya penggunaan bahasa.

Pertimbangan juga perlu diberikan untuk meningkatkan kualiti bahasa Inggeris di kalangan guru pelatih. Adik perempuan saya menjadi pensyarah bahasa Inggeris di maktab perguruan tempatan, dan sebelum bersara, beliau merungut mengenai penguasaan lemah bahasa Inggeris di kalangan guru pelatih yang akan ditempatkan di sekolah.

Sepatutnya, hanya guru pelatih yang mampu menguasai bahasa Inggeris dilatih untuk menjadi guru Inggeris di sekolah rendah dan menengah pada masa depan.

Dalam surat kepada media pada 2002, saya cadangkan radio, televisyen dan teknologi komunikasi yang baru boleh memainkan peranan penting dalam pembelajaran bahasa. Memandangkan radio dan televisyen meliputi kawasan luas di negara ini, ia boleh digunakan untuk membuka peluang lebih luas bagi pembelajaran bahasa Inggeris.

Pelajar dari luar bandar dan bandar boleh mendapat manfaat daripada program yang disiarkan. Bagi saya, memfokuskan pelbagai langkah bagi meningkatkan kaedah pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris di sekolah kita adalah lebih penting pada peringkat ini berbanding mewajibkan pelajar lulus Inggeris SPM.

Langkah itu jika diteruskan akan memberi kesan buruk kepada majoriti pelajar yang tidak mampu menguasai bahasa berkenaan. Kita meningkatkan penguasaan bahasa itu di sekolah dan membuat penilaian yang jelas sebelum mengambil langkah selanjutnya.

DR CHANDRA MUZAFFAR,
Universiti Sains Malaysia,
Pulau Pinang.

Read more...

Surat: PPSMI masih belum nampak kejayaan untuk dibanggakan














Sumber: Berita Harian, 18 Jun 2009


PELBAGAI pendapat yang menyokong dan tidak kurang menentang apabila Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran baru-baru ini mengemukakan cadangan supaya subjek bahasa Inggeris wajib lulus untuk Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Bagi yang menyokong, alasannya ialah bahasa itu bahasa penting dunia. Bagi yang membantah pula melihat langkah itu dikhuatiri akan merendahkan taraf bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di samping meminggirkan golongan pelajar di kawasan luar bandar.

Lantaran itu, isu berkenaan hendaklah ditangani dengan hati terbuka dengan timbang tara secara adil, rasional serta berpaksikan kebenaran ilmu. Sudahkah kita mengenal pasti masalah sebenar di sebalik timbulnya cadangan itu?

Punca kepada timbulnya cadangan itu tidak lain dan tidak bukan kerana mahu melihat generasi muda fasih berbahasa Inggeris.

Dasar Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Inggeris dalam Sains dan Matematik (PPSMI) sejak 2003 boleh dijadikan ukuran sebagai langkah kerajaan mengatasi masalah itu. Berdasarkan kenyataan pemimpin, cadangan itu tercetus bermula pertengahan 2002 untuk mewajarkan dasar berkenaan.

Persoalannya, adakah kajian khusus menilai keberkesanan PPSMI dalam meningkatkan kemahiran bahasa Inggeris di kalangan murid sudah dilakukan? Sesudah enam tahun PPSMI dilaksanakan dengan bantahan demi bantahan, generasi pertama menempuh dasar itu sudah menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) pada 2008.

Seharusnya mereka adalah angkatan pelajar yang melangkah ke Tingkatan Satu tanpa masalah penguasaan bahasa Inggeris. Namun, apakah rumusan yang dapat dibuat daripada statistik UPSR tahun lalu bagi subjek bahasa Inggeris?

Seramai 146,861 murid dari sekolah kebangsaan dan sekolah jenis kebangsaan mendapat gred D dan E dalam subjek bahasa Inggeris. Ini belum ditambah jumlah 144,028 murid yang memperoleh gred C.

Oleh sebab itu, keputusan mahu menetapkan bahasa Inggeris sebagai syarat lulus SPM mesti dimulakan dari PPSMI lagi. Bayangkan hampir 300,000 murid daripada kelompok pertama dasar PPSMI lemah penguasaan bahasa Inggeris pada peringkat sekolah rendah.

Berdasarkan hakikat itulah, jika benar mahu melihat pelajar kita menguasai bahasa Inggeris maka kaedah pengajaran dan pembelajaran (P&P) subjek itu mestilah dirombak besar-besaran demi kebaikan jangka panjang anak bangsa Malaysia.

Read more...

Tenggelam di Lautan Bahasa Inggeris
















Oleh: Zin Mahmud

Sumber: Mingguan Malaysia, 14 Jun 2009

Siapakah yang menggubal undang-undang dan dasar-dasar di dunia ini? Tentunya orang yang bijak pandai, berkuasa dan berharta.

Di negara ini, mereka yang pandai dalam pelajaran mempunyai banyak peluang. Dengan kelulusan yang baik, seseorang akan mampu mendapat biasiswa atau pinjaman pelajaran. Lebih-lebih lagi jika seseorang itu pandai dalam bahasa Inggeris. Bukan saja mereka berpeluang untuk menyambung pelajaran yang lebih tinggi, tetapi pintu pekerjaan yang berpendapatan baik adalah amat luas.

Setelah belajar di luar negara dengan bantuan penuh daripada kerajaan, ataupun agensi-agensi serta syarikat-syarikat korporat, mereka tidak sukar untuk memajukan diri. Apa yang penting mereka menumpukan perhatian terhadap pelajaran, di samping berusaha meningkatkan sahsiah diri bagi penampilan yang baik apabila menyertai dunia pekerjaan kelak.

Apabila berjaya memperoleh ijazah sarjana muda, pencapaian yang cemerlang membuka peluang yang lebih luas. Maka pintu mereka terbuka untuk melanjutkan pelajaran di peringkat sarjana dan seterusnya ijazah kedoktoran falsafah. Oleh kerana otak mereka bijak, tentu menjadi cemerlang dalam akademik tidaklah sukar.

Tetapi orang seperti ini selalunya bukan saja pandai dalam pelajaran, tetapi juga cekap dalam mengurus diri dan keadaan sekelilingnya. Ia mempunyai bakat untuk menjadi pemimpin dalam apa jua organisasi. Baik dalam dunia akademik, perniagaan mahupun agensi kerajaan. Otak yang baik datang dari tubuh yang sihat. Mereka juga aktif bersukan selain dari penampilan menarik, kacak bagi lelaki, jelita bagi wanita. Secara semula jadi mereka akan muncul sebagai pemimpin. Memang dari sekolah dahulu hinggalah ke universiti dan dalam alam pekerjaan.

Sememangnya beruntung orang seperti ini. Mereka tidak berasa susah dari segi kebendaan, lebih-lebih lagi jika mereka datang daripada keluarga yang berharta. Maka hidup mereka akan terus ditatang dengan kesenangan. Ini kerana dengan sokongan keluarga berharta, adalah lebih mudah bagi seseorang untuk mendapat pelajaran yang baik. Seterusnya melalui rangkaian keluarga, maka lebih mudah juga seseorang itu memperoleh kerjaya yang menjamin masa depan hidupnya.

Berpengaruh

Maka tentunya orang yang pandai-pandai ini akan berada di tempat-tempat yang berpengaruh dalam masyarakatnya. Bagi yang menceburi bidang politik, maka kepandaiannya memudahkan seseorang itu berjaya dalam mendapatkan kedudukan dalam parti politik yang dipilihnya. Tidak kiralah sama ada parti yang menjadi kerajaan, atau pembangkang.

Jika seseorang itu memilih dunia korporat. Maka mereka juga mudah berjaya. Dengan latar pendidikan dan pendedahan yang diperoleh, maka mudahlah ia menjadi eksekutif yang sentiasa meningkat naik. Hingga ke peringkat pengurusan dan seterusnya mampu mencapai ke tahap ahli lembaga pengarah dalam apa jua syarikat. Kepandaiannya menjual beli saham atau dengan mudah ia menjadi orang yang berpengaruh.

Begitu juga sekiranya seseorang yang pandai ini memilih untuk menjadi ahli akademik. Maka dengan cepat, dia mampu mencapai tahap menjadi profesor dan seterusnya ahli akademik terulung dalam negara. Orang seperti ini akan menjadi penggerak minda negara dengan mengeluarkan pandangan serta hasil kajian yang dinanti-nantikan oleh masyarakat.

Malah dalam sektor awam, iaitu kerajaan, orang yang bijak pandai ini jugalah yang akan menjadi pegawai tadbir dan diplomatik. Mereka mengurus dan mentadbir jentera kerajaan. Merekalah yang menggubal polisi-polisi kerajaan melalui saranan-saranan yang dikemukakan kepada ahli-ahli politik. Mereka semua berpengaruh. Hasil pandangan mereka mencorak masyarakat dan negara.

Orang pandai-pandai ini jugalah yang menguasai media massa. Mereka turut muncul untuk menjadi pengarang, penulis, penerbit rancangan, atau apa saja kedudukan yang mencorak pemikiran pembaca, pendengar dan penonton. Mereka membentuk fikiran ramai.

Di Malaysia, bahasa orang pandai-pandai ini bukannya bahasa Melayu walaupun ia adalah bahasa kebangsaan yang dinobatkan sebagai Bahasa Malaysia. Bahasa golongan berpengaruh ini ialah bahasa Inggeris. Baik sebelum merdeka, selepas merdeka atau masa kini. Bahasa Inggeris merupakan bahasa perantara dunia akademik, korporat, kerajaan, teknologi dan media sendiri. Walaupun dalam akhbar berbahasa Melayu seperti Utusan Malaysia. Untuk maju sebagai wartawan Utusan, mereka mesti menguasai bahasa Inggeris.

Maka tidak hairanlah dalam menggubal undang-undang, dasar-dasar atau program, adalah menjadi kecenderungan kepada golongan bijak pandai negara ini untuk mengutamakan bahasa Inggeris. Ini berlaku walaupun dalam syarikat perniagaan Melayu, jabatan kerajaan yang dipimpin oleh parti Melayu dan media massa yang menerbitkan akhbar Melayu.

Bagi mereka, adalah suatu yang aneh jika seseorang itu tidak mampu menguasai bahasa Inggeris. Semua orang, sama ada pandai atau kurang cerdik, berharta atau kurang mampu, kesemuanya mesti mampu berbahasa Inggeris.

Majoriti

Oleh kerana golongan yang berpengaruh ini dalam hidupnya secara umumnya senang, mereka tidak dapat merasakan betapa majoriti penduduk negara ini tidak mampu berbahasa Inggeris atau mencapai keupayaan akademik seperti mereka.

Ada sebahagian hanya pandai sesuatu mata pelajaran. Tidaklah semua. Atau pencapaian hanya sederhana. Tidak kurang pula yang boleh menguasai semua mata pelajarannya kecuali yang berkaitan dengan bahasa Inggeris.

Manusia berbeza-beza. Hanya kerana kelemahan berbahasa Inggeris, maka orang seperti ini tidak dapat menguasai sains dan matematik yang kini diajar dalam bahasa Inggeris.

Bagi mereka yang cerdik, belajar sains dan matematik dalam bahasa Inggeris, tidak menjadi masalah besar. Mereka mampu mengatasinya. Tetapi bagaimana kebanyakan pelajar yang mendapati ia merupakan masalah.

Bagi golongan yang mempunyai kuasa dan tentunya menguasai bahasa Inggeris, mereka mahu memaksa orang menguasai bahasa Inggeris. “Mengapa tidak? Kalau kita dulu boleh belajar bahasa Inggeris, mengapa budak-budak ini tidak boleh?’’.

Maka digubal peraturan bahawa untuk mendapatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), mereka diwajibkan lulus bahasa Inggeris. Sedangkan guru-guru mereka di sekolah rendah dan menengah sendiri tidaklah begitu cemerlang untuk mengajar bahasa Inggeris.

Kalau mereka cemerlang, sudah lama mereka menjadi orang berpengaruh dalam bidang lebih glamour, sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD), korporat atau agensi kerajaan.

Maka anak-anak yang kurang pandai, mungkin hanya mampu menguasai beberapa mata pelajaran dinafikan memiliki sijil SPM kerana tidak lulus bahasa Inggeris. Maka walaupun mereka berjaya dalam mata pelajaran lain dalam SPM, tetapi sijil yang diperoleh hanyalah Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Golongan kurang pandai dalam masyarakat tidak dapat berbuat apa-apa. Dengan PMR, pekerjaan apa yang boleh mereka lakukan? Pendapatan yang mereka peroleh akan terus rendah. Dan dunia akan terus dikuasai oleh orang pandai-pandai yang menentukan hanya golongan seperti mereka akan terus mendapat tempat.

Apa yang hanya ada pada kebanyakan orang adalah dua undi bagi mereka yang tinggal di luar Wilayah Persekutuan. Satu undi untuk ahli Parlimen dan satu lagi untuk ahli Dewan Undangan Negeri. Tetapi wakil-wakil rakyat yang mereka undi itupun datangnya daripada golongan pandai-pandai, yang tahu bahasa Inggeris.

Read more...

About This Blog

Unit Sains Pendidikan Rendah Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kampus Raja Melewar

  © ScienceCourse IPGM Kampus Raja Melewar by Social Network 2008

Back to TOP